2 Disember 2014 - 10:22
Sokongan tidak berbelah bagi Putin terhadap Bashar Assad dalam pertemuan dengan Erdogan

Putin dan Erdogan sepakat untuk tidak mengizinkan pengganas berkuasa di rantau Timur Tengah

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, pilihanraya yang telah berlangsung di Syria telah menunjukkan sokongan rakyat di negara ini terhadap Bashar Assad. Oleh itu perkara yang perlu dilaksanakan ialah mengerahkan semua kekuatan politik bagi menjalankan kerjasama yang sepatutnya dengan negara tersebut.

Putin berkata demikian dalam sidang media setelah mengadakan pertemuan dan rundingan bersama Recep Tayyip Erdogan petang semalam.

Presiden Russia ini menambah, "Berhubung dengan tekanan terhadap kami dalam isu penyingkiran Bashar Assad, saya rasa bangsa Syria yang sepatutnya mengambil keputusan demikian dan jawapannya telah diberikan dalam pilihanraya terakhir negara in. Majoriti rakyat Syria telah sepakat memberikan sokongan terhadap beliau."

Selain itu, menurut beliau lagi, kelestarian Bashar dalam tampuk pemerintahan berkait rapat dengan sokongan rakyat, "Pilihanraya presiden di Syria membuktikan Assad adalah pemimpin yang paling disayangi.

"Kami tidak mengizinkan pengganas menguasai Iraq dan Syria walaupun sekejap.

"Walau bagaimanapun, kami tidak percaya isu di Syria itu hanyalah perkara biasa. Kami dalam pertemuan dengan Kementerian Luar Syria bersama pegawai-pegawai lain saling menegaskan, betapa pentingnya mencari jalan agar semua kekuatan politik dapat bekerjasama antara satu sama lain," tutur beliau.

Sementara itu, Recep Tayyip Erdogan turut memaklumkan kesepakatan negaranya bersama Russia dalam penyelesaian masalah dalaman Syria.

"Kami memaklumkan pandangan tentang rejim Bashar Assad. Presiden Russia juga mempunyai pendirian dalam perkara ini. Namun kami sepakat dalam kesemua hal berkenaan penyelesaian masalah dalaman di Syria meskipun kami mempunyai beberapa perselisihan mengenai jalan penyelesaiannya," jelas Erdogan.

Presiden Russia menambah, Russia dan Turki tidak akan izinkan kumpulan pengganas di Syria dan Timur Tengah mencapai kekuasaan bagi menghuru harakan rantau tersebut.

Kata beliau, "Kita masing-masing mempunyai pegangan iaitu jangan izinkan huru hara bermaharaja lela di bumi Syria, dan situasi terkini yang terjadi di Iraq ialah hampir 40 peratus buminya jatuh ke tangan pengganas."